Isnin, 27 Jun 2011

Muslim Di Bulan Syaaban

Bulan Syaaban merupakan antara bulan-bulan yang istimewa bagi umat Islam. Kelebihan yang Allah berikan dalam bulan Syaaban amat bermakna bagi para hamba yang mukminin serta mukhlisin. Begitu banyak hadis-hadis Rasulullah S.A.W yang menceritakan mengenai kelebihan bulan yang mulia ini. Antaranya sabda Rasulullah S.A.W yang masyur adalah


Berkata Siti Aisyah r.a., bulan yang lebih dikasihi oleh Rasululah s.a.w. ialah bulan Sya'aban. Sabda Nabi s.a.w “Sya'aban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Sya'aban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmini rohani).

Peristiwa Penting Di Bulan Syaaban

Antara peristiwa penting di dalam bulan Syaaban adalah



1) Malam Nisfu Syaaban

Dari Abi Hurairah ra dari Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya : "Telah datang Jibril a.s pada malam Nisfu Syaaban dan dia berkata , Ya Muhammad,pada malam ini pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka, maka berdirilah dan kerjakan sembahyang lalu angkatlah kepalamu dan kedua tanganmu ke langit !" Kata saya (Nabi Muhammad) :

"Hai Jibril, apakah erti malam ini ?" Dia (Jibril) menjawab: "Pada malam ini telah dibuka 300 pintu rahmat, maka Allah telah mengampuni orang-orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu kecuali ahli sihir, bomoh hitam, orang-orang yang suka permusuhan/pergaduhan, peminum arak, orang-orang yang berbuat zina, pemakan riba, orang-orang yang derhaka kepada kedua orang tua, orang-orang yang suka mengadu domba (batu api) dan orang-orang yang memutuskan tali persaudaraan, maka sesungguhnya mereka itu tidak akan diampuni kesalahannya sehingga mereka mahu bertaubat dan tidak akan mengulang lagi atas perbuatannya itu."

Maka pergilah Nabi Muhammad SAW untuk mengerjakan sembahyang serta menangis di dalam sujudnya dengan membaca : "Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari seksaMu dan murka Mu dan aku tidak menghitung-hitung pujian kepadaMu, sebagaimana Engkau memuji kepadaMu sendiri, maka segala puji bagiMu sehingga Engkau redha." Dipetik dari Kitab Zubdatul Wa'idzin.

2)Pertukaran Arah Kiblat
Allah swt telah mengarahkan Rasul-Nya memindahkan kiblat sembahyang daripada masjid al-Aqsa di Bait al-Maqdis ke Kaabah di Mekah. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada seorang sahabat al-Bara' bin Azib maksudnya: "Selepas Rasulullah sampai ke Madinah al-Munawarah, baginda dan para sahabat bersembahyang berkiblatkan Baitulmaqdis selama lebih kurang enam belas atau tujuh belas bulan. Selepas tempoh tersebut barulah diturunkan wahyu menyuruh baginda berpaling ke Mekah. Peristiwa pertukaran kiblat berlaku di dalam masjid Qiblatain. Suruhan pertukaran kiblat berlaku ketika Rasulullah sedang bersembahyang Asar.

Pertukaran kiblat menjadi isu besar di Madinah. Orang Yahudi mengambil kesempatan menabur fitnah memperlekehkan dakwah Rasulullah. Lalu diturunkan ayat 142 Surah al-Baqarah. Maksudnya: Akan berkata orang-orang yang kurang akalnya: ''Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblat mereka (Baitulmaqdis) yang dahulunya mereka telah berkiblat kepadanya. Katakanlah: ''Kepunyaan Allah timur dan barat, dia memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.

Peristiwa ini berlaku pada tahun kedua Hijrah pada bulan Syaaban. Kebenaran daripada Allah swt untuk kembali berkiblatkan Kaabah adalah contoh doa Rasulullah yang dikabulkan oleh Allah swt. Ini kerana Rasulullah sudah lama mengangkat tangannya berdoa dan memandang ke langit meminta pertukaran kiblat ke Kaabah. Permintaan Rasulullah tersebut telah diperkenankan oleh Allah swt pada bulan Syaaban.

3) Peperangan Zat Al-Riqa

Peristiwa peperangan Zat Al-Riqa tercetus akibat pengkhianatan di kalangan kabilah-kabilah  Nadj terhadap kaum Muslimin. Tragedi ini telah mengorbankan sehingga 70 orang kaum muslimin.

Peperangan ini dinamakan Zat Al-Riqa (peperangan yang bertampung) oleh kerana tentera Islam pada ketika itu ramai yang telah pecah tapak kaki ketika dalam perjalanan.

Daripada Abi Musa Al-Asya'ari R.A katanya : "Kami telah keluar bersama-sama Rasulullah S.A.W di satu peperangan kami berenam orang bergilir-gilir menunggang seekor unta". Tambanya lagi "Kami berjalan hingga pecah tapak kaki kami. Tapakku sendiri pun pecah, kukuku luruh, kami membalut kaki kami dengan kain buruk.  (Riwayat Bukhari dan Muslim)

4) Peperangan Bani Al-Mustaliq

Bani Mustaliq ialah salah satu puak dari kaum Yahudi. Mereka telah merancang untuk membunuh Rasulullah SAW dan berita ini disampaikan kepada Rasulullah SAW oleh seorang sahabat dari puak badwi. Peperangan ini adalah turutan dari peperangan bani Quraizah, kaum yahudi yang telah dihalau oleh Rasulullah SAW keluar dari Madhinah. Peristiwa ini terjadi pada bulan Syaaban, 5H. Pasukan kaum muslimin dapat melumpuhkan pasukan Bani Mustaliq.

Sebagian pasukan Bani Mustaliq ada yang ditawan, termasuklah salah seorang puteri pemuka Bani Mustaliq yaitu Barrah, yang nama lengkapnya adalah Barrah binti al-Harris bin Dirar bin Habib bin Aiz bin Malik bin Juzaimah Ibnu al-Mustaliq. Al-Harris bin Dirar, ayah Barrah adalah pemimpin Bani Mustaliq. Barrah telah menjadi tawanan perang milik Sabit bin Qais. Disebabkan Barrah ini seorang perempuan yang cerdik, ia meminta untuk dibebaskan dari Sabit bin Qais, setelah diadakan pembicaraan, Sabit bin Qais meminta tebusan yang mahal.

Tetapi, Barrah waktu itu langsung menemui Rasulullah SAW untuk membicarakan masalah tebusan bagi dirinya. Kemudian Rasulullah SAW pada waktu itu menyetujui membebaskan Barrah dan menebusnya dari Sabit bin Qais dan terus menikahi Barrah dan Rasulullah SAW mengganti nama Barrah menjadi Juwairiyah. Tindakan Rasulullah SAW ini telah memberi banyak faedah kepada umat Islam ketika itu, diantaranya ialah ramai dikalangan Bani Mustaliq yang memeluk Islam dan terpadamnya dendam permusuhan di antara umat Islam dan Bani Mustaliq. Juwairah meninggal dunia pada tahun 56H.

Fadhilat Bulan Syaaban

Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan. Bulan Syaaban adalah antara bulan yang paling dicintai oleh Rasulullah S.A.W di mana baginda akan lebih banyak berpuasa. Oleh itu, amatlah baik bagi kita sebagai umat Islam memperbanyakkan amalan, selain menjadi satu medan latihan rohani ke arah mempersiapkan diri menyambut kedatangan bulan Ramadhan

Antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Sya'ban adalah :

1) Memperbanyakkan Puasa Sunat

Telah memberitahu kepada kami Abdullah bin Yusuf Telah memberitahu kami Malik daripada Abi An-Nadhri daripada Abi Salamah daripada Sayyidatina 'Aishah telah berkata : Rasulullah S.A.W berpuasa sehingga kita mengatakan dia tidak berbuka dan baginda S.A.W berbuka sehingga kami berkata dia tidak berpuasa. Dan aku tidak pernah melihat Rassulullah S.A.W menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan dan aku tidak pernah melihat baginda S.A.W banyak berpuasa melainkan pada bulan Sya'ban.

( Diriwayatkan oleh imam Bukhari di dalam sohihnya dan imam Muslim di dalam sohihnya )

Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."

2) Bertaubat dan beristighfar

Taubat ialah pembersihan rohani kerana taubat itu menjadi tuntutan dalam agama supaya setiap diri individu yang sememangnya tidak ma‘shum ini melakukan taubat pada setiap masa dan ketika.

3)Memperbanyakkan Zikir dan Berdoa

Zikir ialah ucapan yang dilakukan dengan lidah atau mengingati Allah dengan hati, dengan ucapan atau ingatan yang mempersucikan Allah dan membersihkanNya dari sifat-sifat yang tidak layak untukNya.

4)Memperbanyakkan amalan baik dan istiqomah melakukannya

Baginda S.A.W juga menggalakkan kita agar di dalam melakukan sesuatu yang baik terutama dalam ibadat khusus seperti solat sunat, puasa sunat dan sedekah maka ia mestilah dilakukan secara berterusan walaupun sedikit. Ini kerana  istiqomah dalam melakukan amalan kebaikan akan mendatangkan perasaan untuk menghisab dan menghitung diri sendiri secara berterusan akhirnya melahirkan individu yang sentiasa mengingati Allah

Editor: LIP_ISIUKM




Menantikan Nisfu Syaaban...


Berikut adalah sebahagian hadis-hadis berkenaan Nisfu Syaaban dari kitab Al-Mutajir Ar-Raabih fi thawab Al-Amal As-Soleh karangan Al-Hafiz Ad-Dimyaty:
Dari Usamah b Zaid ra berkata, “Aku bertanya, ya Rasulullah. Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam bulan-bulan lain sepertimana engkau berpuasa dibulan Syaaban”. Rasulullah bersabda, “Ia adalah bulan yang manusia lalai terhadapnya, diantara Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan sekelian alam, maka aku suka amalanku diangkat sedang aku berpuasa” (riwayat An-Nasaie).
Dari At-Tarmizi dengan sanad-sanadnya dari Anas ra. dia berkata, “Nabi saw ditanya apakah bulan selepas Ramadan yang terafdhal berpuasa”. Nabi saw menjawab bermaksud, “Bulan Syaaban kerana untuk mengagungkan Ramadan”. Nabi saw ditanya lagi, “Sedekah apakah yang terafdhal?”. Nabi saw menjawab, “Sedekah dibulan Ramadan”. Kata At-Tarmizi, hadis ini hadis Hasan Sahih
Dari Ibnu Majah dari Ali ra. dari Nabi saw bersabda bermaksud, “Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, lalu berqiyamullail pada malamnya, dan berpuasa di siangnya, maka sesungguhnya Allah swt turun ke langit dunia ketika matahari terbenam dan berfirman, “Adakah disana orang yang memohon keampunan, lalu Aku mengampunkan dia ? Adakah di sana orang yang memohon rezeki, lalu Aku memberi dia rezeki ? Adakah di sana orang yang di beri ujian bala bencana, lalu Aku menyejahterakan dia ? Adakah di sana … adakah di sana … ? sehingga terbit fajar”.
Dari Al-Baihaqy dengan sanad-sanadnya dari Aisyah ra. bahawa Nabi saw bersabda bermaksud, “Jibril telah mendatangi aku dan berkata: Malam ini adalah malam Nisfu Syaaban. Pada malam itu Allah membebaskan hamba-hamba dari siksaan Api Neraka seramai bilangan kambing Bani Kalb (merentasi satu tempat) selama sebulan. pada malam itu Allah tidak menoleh kepada orang yang melakukan syirik, pengadu domba (kaki batu api), pemutus silaturrahim, penderhaka kepada kedua ibu bapa dan orang yang ketagih arak”. Bani Kalb adalah kabilah Arab yang terbesar atau yang memiliki bilangan kambing yang terbanyak.

Puasa amalan TERBAIKK hidupkan SYA'BAN


Umat digalak perbanyak ibadah sunat sebagai persediaan hadapi Ramadan
KEDATANGAN Syaaban memberi petanda kita semakin hampir untuk bertemu Ramadan al-Mubarak, bulan Allah melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-Nya.
Sebagai persiapan untuk menghadapi Ramadan apakah amalan yang disunatkan Rasulullah pada Syaaban? Sebenarnya pada bulan ini Rasulullah SAW memperbanyakkan puasa hingga diriwayatkan Baginda berpuasa sebahagian besar pada bulan itu.
Aisyah berkata:
“Rasulullah SAW berpuasa hingga kami menyangkakan Baginda tidak akan berbuka dan Baginda berbuka hingga kami menyangkakan Baginda tidak akan berpuasa. Aku sama sekali tidak pernah melihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasa sebulan melainkan pada Ramadan dan aku tidak pernah melihatnya lebih banyak berpuasa melainkan pada Syaaban.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Selain amalan berpuasa, tiada hadis sahih menunjukkan Baginda SAW mengkhususkan amalan tertentu sempena Syaaban. Namun, amalan sunah lazimnya dilakukan tanpa mengkhususkan waktu tertentu seperti membaca al-Quran, mengerjakan solat sunat, berzikir dan berdoa.
Mengenai hikmah Rasulullah SAW meningkatkan amalan puasa pada Syaaban, Al-Hafiz Ibn Hajar mengulas dalam Fath al-Bari: “Hikmah lebih tepat untuk dikatakan berhubung persoalan ini, iaitu meningkatkan amalan puasa pada Syaaban adalah seperti yang disebutkan hadis dengan darjat lebih sahih daripada hadis terdahulu.
Hadis diriwayatkan oleh al-Nasaai dan Abu Daud, disahihkan Khuzaimah daripada Usamah bin Zaid katanya: “Aku bertanya Rasulullah SAW: Ya Rasulullah! Aku tidak pernah melihat engkau berpuasa dalam satu bulan berbanding bulan lain seperti engkau berpuasa daripada sebahagian Syaaban. Baginda bersabda: Itulah bulan yang manusia melupakannya antara bulan Rejab dan Ramadan, iaitu bulan yang diangkat amalan kepada Allah, Tuhan semesta alam. Oleh itu, aku suka supaya amalanku diangkat ketika aku sedang berpuasa.” (Hadis riwayat al-Nasaai)
Oleh itu, sewajarnya kita menyambut kedatangan Syaaban dengan menggandakan ibadat puasa. Namun, ada beberapa perkara sering diperdebatkan mengenai puasa pada Syaaban iaitu adakah dibolehkan berpuasa pada keseluruhan Syaaban dan larangan berpuasa selepas pertengahan bulan ini.
Ulama berbeza pendapat sama ada dibenarkan berpuasa sepanjang Syaaban. Sebahagian pendapat mengatakan kadangkala Nabi SAW berpuasa pada keseluruhan bulan Syaaban dan ada kalanya baginda berpuasa pada sebahagian besar Syaaban saja.
Sebahagian lain berpendapat Baginda tidak pernah berpuasa sebulan penuh pada bulan lain menurut kalendar hijrah kecuali Ramadan al-Mubarak. Manakala Baginda hanya berpuasa sebahagian besar hari pada Syaaban. Perbezaan pendapat ini disebabkan wujudnya hadis Nabi SAW yang menunjukkan Baginda pernah berpuasa sepanjang Syaaban dan ada pula yang menidakkannya.
Daripada Abu Salamah, Aisyah berkata: “Nabi SAW tidak berpuasa pada satu bulan yang lebih banyak berbanding Syaaban. Sesungguhnya Baginda berpuasa sebulan penuh.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Bagaimanapun, hadis di atas seakan-akan bercanggah dengan hadis daripada Aisyah yang menurutnya Nabi SAW hanya berpuasa sepanjang bulan pada Ramadan.
Bagi menghilangkan percanggahan yang timbul, Al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan bahawa hadis menunjukkan Rasulullah SAW berpuasa sebulan penuh Syaaban sebenarnya hanya menunjukkan baginda biasa berpuasa sebahagian besar pada bulan itu.
Tambahnya lagi: “Imam al-Tirmizi menukilkan daripada Ibn al-Mubarak katanya: Menurut bahasa Arab, apabila seseorang berpuasa pada sebahagian besar daripada sesuatu bulan, maka boleh dikatakan dia berpuasa sebulan penuh. Dikatakan seseorang itu solat sepanjang malam padahal ada kemungkinan dia masih makan malam serta sibuk dengan urusan lain.”
Selanjutnya berkaitan perbezaan pendapat ini, Al-Hafiz Ibn Hajar menegaskan: “Tetapi, jelas sekali pendapat ini (boleh berpuasa sebulan penuh ketika Syaaban) seakan-akan terpaksa. Namun, pendapat paling sahih adalah pendapat pertama, iaitu Baginda hanya berpuasa sebahagian besar daripada Syaaban.
Ia dikuatkan lagi melalui riwayat Abdullah bin Syaqiq yang dinukilkan daripada Aisyah serta dikeluarkan oleh al-Nasaai yang berbunyi: “Baginda SAW tidak pernah berpuasa sebulan penuh sejak datang ke Madinah selain Ramadan.”
Hal ini dikuatkan lagi dengan hadis yang melarang berpuasa sehari atau dua hari sebelum puasa Ramadan bermula. Menurut Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan sekali-kali salah seorang antara kamu semua mendahului puasa Ramadan dengan puasa sehari atau dua hari kecuali orang yang sudah biasa berpuasa pada hari itu. Justeru, dia bolehlah berpuasa pada hari itu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Tanggapan dilarang berpuasa pada Syaaban selepas memasuki hari ke 15 bersandarkan kepada hadis Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika memasuki pertengahan Syaaban, janganlah kamu semua berpuasa.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Sebenarnya tidak wujud percanggahan antara hadis melarang berpuasa selepas pertengahan bulan Syaaban dan hadis yang membenarkannya. Jumhur ulama membolehkan berpuasa pada Syaaban diteruskan walaupun selepas pertengahan bulan.
Jelas di sini Nabi SAW berpuasa pada sebahagian besar Syaaban. Justeru, marilah kita hidupkan Syaaban dengan memperbanyakkan ibadah puasa.
Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus

Khamis, 2 Jun 2011

Cinta dalam doa hanya kepada Mu..

Macam mana dengan hafalan awak?... Satu pertanyaan yang sangat meyentuh hati dan perasaan.. Ya Allah, ternyata, diri ini lupa dengan kewajiban diri.. MasyaAllah.. Terlalu lalai dengan duniawi sehingga terlupa amanah yang perlu di jaga sehingga ke akhir nanti... Terima kasih ukhty dah  menggingatkan.. walaupun mungkin itu hanya satu soalan yang simple tapi sangat bermakna dan bererti pada diri ini..

Teringat sabda dan firman Allah...

Rasul SAW bersabda : "Sesungguhnya orang yang di dalam rongga mulut dirinya kosong dari Al-Qur'an sama seperti rumah yang hancur lebur" ( HR At-Tirmidzi dari Abdullah bin Abbas ) Hassan Shahih

Allah berfirman:  Dan Al-Qur'an itu adalah kitab yang kami turunkan, yang diberkati, maka ikutikah dia dan bertakwalah agar kamu di beri rahmat" ( Al-An'am: 155)

Orang yang hanya menghafal AQ namun tidak mengamalkannya bererti merupakan orang yang belum memahami hakikat dan betapa pentingnya kitab yang mulia.. AQ..
AstagfiruAllah.. Semoga diri ini terlindungi dari semua itu..

Sufyan bin Uyainah berkata: " Orang yang paling bodoh adalah orang yang tidak melakukan apa yang telah ia ketahui. Orang yang paling pintar adalah orang yang mengamalkan apa yang telah ia ketahui. Sedangkan orang yang paing baik adalah orang yang paling khusyuk kerana Allah".




 Alhamdulillahi rabbil a'lamin, Allahuma solli a'la muhammad wa'alaa aalihi wa ashaabihi ajmaiin.
 Ya Allah, kami beriman kepada Mu, kewujudanMu dan kebesaranMu, Engkaulah Maha Agung dan Maha segala-galanya. Bimbinglah kami Ya Allah.. agar hati-hati kami sentiasa menggingat Mu.. 
Peliharalah hati-hati kami ini Ya Allah.. agar tidak terjerumus ke lembah maksiat dan dosa.. Peliharalah kami daripada segala yag tidak kami kehendaki. Peliharalah kami dari segala yang keji, peliharalah kami dari segala penyakit dan iri hati, dan peliharalah kami dari hasad dan dengki.
 Ya Allah, Yang Maha Selamat, berilah keselamatan kepada kami dan ahli keluarga kami peliharalah kami semua daripada segala macam kejahatan dan keburukan. Selamatkanlah kami dari kebesaran namaMu .
Ya Allah.. jangan Engkau paksa kami melakukan sesuatu yang kami tidak mampu melakukannya, jangan Engkau paksakan kepada kami ujian yang terlalu berat untuk kami. 
Ya Razzaq, wahai tuhan yang Maha Pemberi Rezzeki, berikanlah kepada kami rezeki-Mu yang banyak. Cukupkanlah keperluan kami, cukupkanlah keperluan anak-anak kami, cukupkanlah keperluan ahli keluarga kami, janganlah sampai kami terpaksa meminta-minta akibat daripada kekurangan rezeki. Ya Allah, Ya Fattah, Wahai Tuhan yang Maha Pembuka, bukakanlah untuk kami, kejayaan dalam apa jua usaha kami, bukakanlah pintu kefahaman kami, bukakanlah segala kesusahan dan kesulitan kami..
Engkaulah yang Maha Mengetahui segala sesuatu yang tidak kami ketahui. Yang Maha Mendengar, dengarlah doa dan rintihan kami, serta dengarlah doa dan permintaan kami, jangan Engkau palingkan dirimu daripada kami, lantaran daripada kederhakaan kami. Ampunilah dosa-dosa kami Ya Allah.
Ya Mujib, wahai Tuhan yang Maha Memperkenankan doa, perkenankanlah segala permintaan kami, jangan Engkau biarkan tangan-tanagn yang menadah ini dalam keadaan kosong dan sia-sia, kasihanilah kami, cukupkanlah segala keperluan kami, jauhkanlah kami daripada keterpaksaan meminta dan mengemis, hanya kepada Mulah tempat kami meminta.. Luaskanlah kurniaan dan rahmatmu kepada kami.
Wa solallaahu a'laa nabiyyikal karim wa a'laa aalihi wasohbihi ajmain, wal hamdulillahi rabbil a'lamin.