Pada suatu pagi, berlangsungnya satu temuduga di sebuah syarikat yang terkenal di Malaysia.
Semasa menemuduga salah seorang calon, pengurus syarikat tersebut
mendapati
seorang calon temuduga perempuan mempunyai rekod akademik yang baik
sejak dari sekolah menengah sehinggalah sepanjang pengajiannya di
universiti. Setiap semester calon tersebut memperoleh keputusan yang
cemerlang.
Pengurus itu bertanya, "Adakah awak mendapat apa-apa biasiswa di sekolah atau universiti?"
Gadis itu menjawab "Tidak."
Pengurus itu bertanya lagi, "Jadi adakah ayah awak yang membayar semua yuran pengajian?"
Gadis itu menjawab,"Ayah saya telah meninggal ketika saya berusia satu
tahun, ibu saya yang telah membayar semua yuran pengajian saya."
Pengurus meneruskan soalannya, "Ibu awak bekerja di mana?" Gadis itu
menjawab,"Ibu saya bekerja sebagai pencuci kain dari rumah ke rumah."
Pengurus meminta gadis tersebut menunjukkan tapak tangannya dan gadis
tersebut menunjukkan tapak tangannya yang halus seperti tidak pernah
membuat kerja berat.
Pengurus berasa hairan lalu bertanya lagi, "Awak tidak pernah membantu ibu awak mencuci kain dahulu?"
Gadis itu menjawab, "Tidak pernah. Ibu selalu berpesan supaya saya
belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam kehidupan. Tidak pernah
dia meminta saya untuk menolongnya membasuh pakaian. Lagipun ibu
membasuh lebih cepat daripada saya."
Pengurus tersebut
memberitahu dia mempunyai satu permintaan, dia menyuruh gadis tersebut
membantu ibunya membersihkan tangan apabila gadis itu pulang ke rumah
nanti dan berjumpa semula dengannya keesokan harinya.
Gadis
itu merasakan peluang untuk memperoleh jawatan tersebut semakin tinggi.
Dia pulang ke rumah dengan gembira untuk membersikan tangan ibunya.
Di rumah, ibunya berasa pelik tetapi tersentuh dengan keinginan anaknya
membersihkan tangannya sambil menghulurkan kedua-dua belah tapak tangan
kepada anaknya.
Gadis itu membersihkan tangan ibunya
perlahan-lahan. Tanpa disedari air matanya mengalir ketika itu. Inilah
kali pertama dia mendapati tangan ibunya begitu kasar dan terdapat
banyak calar di tangan ibunya. Kadangkala ibunya mengaduh kesakitan
apabila terkena air di tangannya.
Lama-kelamaan gadis itu mula
menyedari bahawa tangan ini lah yang bersusah payah membasuh kain
setiap hari untuk mendapatkan sedikit wang membiayai pengajiannya di
sekolah dan universiti.
Calar-calar itulah harga yang perlu
ibunya bayar demi kejayaannya yang cemerlang dan juga demi masa depan
seorang anak. Setelah selesai membersihkan tangan ibunya, gadis itu
secara senyap-senyap membasuh semua pakaian ibunya yang masih
tertinggal.
Keesokkan harinya, gadis itu kembali semula ke pejabat.
Pengurus tersebut menyedari air mata bergenang di mata gadis tersebut
lalu dia bertanya : "Apa yang telah awak buat dan pelajari semalam di
rumah?"
Gadis itu menjawab : "Saya membersihkan tangan ibu saya dan membasuh semua baki pakaian yang masih tertinggal."
Pengurus itu bertanya lagi, "Apa yang anda rasa?"
Gadis itu menjawab : "Pertama, saya sedar apa itu pengorbanan seorang
ibu, tanpa ibu, tiada kejayaan saya pada hari ini. Kedua, dengan bekerja
bersama dengan ibu saya sahaja saya dapat belajar dan mengerti betapa
sukarnya mendapat sedikit wang untuk hidup. Ketiga, saya tahu betapa
pentingnya hubungan kekeluargaan."
Pengurus itu tersenyum
lalu berkata, "Ini adalah apa yang saya mahukan, saya ingin mencari
pekerja yang dapat menghargai bantuan orang lain, orang yang tahu
penderitaan orang lain dan orang yang tidak akan meletakkan wang sebagai
perkara utama dalam hidupnya. Awak diterima untuk bekerja di sini."
Gadis itu bekerja dengan tekun dan menerima rasa hormat dari rakan-rakan sekerjanya. Prestasi syarikat juga semakin meningkat.
Pengajaran dari cerita ini adalah kita hendaklah menghargai jasa ibu
bapa yang banyak bersusah payah demi masa depan kita sebagai anak-anak.

Ringan-ringankan diri untuk membantu ibu atau ayah melakukan
kerja-kerja di rumah. Dari situ, kita akan belajar untuk menghargai
kesusahan dan keperitan yang dialami oleh mereka.
Betapa besarnya pengorbanan seorang ibu. Semoga kita dapat menjadi anak yang berbakti pada orang tua kita, kini dan selamanya.. Insyaallah.